Nubhan (AF6) Selamat Bertunang Dengan Bakal Doktor Gigi

8:26 PM by
 NUBHAN dan Afifah sudah enam tahun menjalinkan hubungan cinta.


KUALA LUMPUR: Bintang Akademi Fantasia musim keenam, Nubhan, 28, selamat melangsungkan pertunangan 11 pagi tadi dengan Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, 25.

Majlis diadakan di kediaman keluarga tunangnya di Seremban 2. Pasangan ini menjalinkan hubungan sejak enam tahun lalu.

Perkenalan mereka berputik di Pulau Pangkor ketika Nubhan menjalani penggambaran manakala tunangnya pula bercuti di situ.

"Kami rancang bernikah dalam tempoh setahun lagi. Ikutkan lagi cepat lagi elok tapi dalam masa yang sama dia (tunang) perlu melunaskan baki pengajian setahun lagi di Mesir.

"Dia bakal doktor gigi dan sepanjang tempoh kenal kami memang melalui cinta jarak jauh," kata Nubhan yang kini sedang mempromosikan single terbaru ciptaan Ajai berjudul Kisah Kasih.

Nubhan menjelaskan pada mulanya memang cukup perit bercinta jarak jauh.

Ia pengalaman yang cukup mencabar buat mereka.

"Saya boleh jadi separuh gila kerana cinta jarak jauh ini. Tapi Alhamdulillah ia semakin dipermudahkan. Selalunya menerusi panggilan video kami melepas rindu.

"Pada mulanya juga dia tak faham kerjaya seni saya. Ambil gambar dengan artis wanita pun dia pernah cemburu. Selalunya boleh jadi gaduh sebab perkara remeh.

"Tapi sekarang dia mula memahami. Selain itu dia cantik dan manja pada mata saya," kata Nubhan mengenai Afifah yang turut berasal dari Kuala Pilah sepertinya tetapi berbeza daerah.

Oleh Zaidi Mohamad