Acong (Sweet Child) Selamat Bernikah Selepas 10 Tahun Menduda

9:24 AM by
Acong dan isterinya Marya selepas majlis pernikahan mereka pada Sabtu lalu di Masjid Sultan Abdul Halim Sungai Petani, Kedah.

PETALING JAYA: Isteri kepada Acong (Sweet Child) iaitu Marya Zuraida tidak menyangka akan bertemu jodoh dengan penyanyi dan pelakon itu apabila mereka selamat diijabkabulkan pada Sabtu lalu selepas hampir 14 tahun terpisah.

Marya atau nama sebenarnya Siti Zuraida Zahari, 31, berkata, dia yang mengenali Acong kira-kira 14 tahun lalu ketika penyanyi itu terlibat dalam sesi promosi album kumpulan Sweet Child di Kuantan, Pahang kembali rapat menerusi laman sosial Facebook pada 2010.

Marya berkata, pintu hatinya terbuka untuk berumah tangga semula selepas lima tahun bergelar ibu tunggal kerana dia terpikat dengan sikap Acong yang kuat bekerja dan menerima anak perempuannya Qistina Yasmin yang berusia enam tahun.

“Kami kenal ketika saya berusia 17 tahun pada 1998 di Kuantan, Pahang. Pada waktu itu, saya dan rakan-rakan membantu Acong dan kumpulan Sweet Child menjual album ketika mereka mengadakan promosi di sana.

“Bagaimanapun, kami hanya kawan biasa ketika itu dan tidak lagi berjumpa. Kami bertemu semula pada dua tahun lalu menerusi Facebook.

“Pada peringkat awal perkenalan kami, saya tidak terfikir ia akan jadi serius sehinggalah Acong meluahkan hasrat untuk memperisterikan saya pada Disember tahun lalu,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, pada Isnin.



Pasangan itu diijabkabulkan di rumah pengantin perempuan pada Sabtu lalu, kira-kira pukul 11 pagi di Masjid Sultan Abdul Halim Sungai Petani, Kedah dengan sekali lafaz.

Acong menghantar tujuh dulang hantaran berbalas sembilan dulang oleh pengantin perempuan sementara mas kahwin pula sebanyak RM2,000.

Bagaimanapun, kedua-dua mempelai enggan mendedahkan jumlah wang hantaran.

Majlis pernikahan di kampung halaman Marya yang juga seorang pelakon tambahan dan krew produksi itu mendapat tajaan Azie De’ Touch dan dihadiri lebih 400 tetamu.

Acong atau nama sebenarnya Ahmad Fauzi Manan, 39, pula berkata, hatinya terbuka untuk berumah tangga selepas 10 tahun menduda selepas melihat ramai kenalan rapatnya memiliki keluarga sendiri.

Ujarnya, selepas mengenali hati budi Marya kira-kira dua tahun lalu, dia mengambil keputusan tersebut kerana keserasian dan sikap memahami di antara satu sama lain.

“Saya ambil keputusan untuk berkahwin kerana keinginan untuk berumah tangga semakin memuncak apabila melihat rakan-rakan saya sedang bahagia dengan anak-anak dan keluarga mereka sedangkan saya masih hidup seorang selepas 10 tahun menduda.



“Sejak mengenali Marya, saya berasa selesa dengannya kerana kami berkongsi banyak persamaan dan dia memahami serta menyokong kerjaya saya,” katanya yang teruja kerana mendapat ‘anak ekspres’ daripada perkahwinan itu.

Pasangan ini bakal mengadakan majlis resepsi kedua di sebelah pihak lelaki pada 24 Disember ini di Pusat Komuniti Bukit Damansara dekat sini.

Majlis resepsi ketiga bagi meraikan rakan-rakan industri dan media akan diadakan pada 3 Januari 2013 di Shah Alam.

Mereka dijangka terbang berbulan madu ke Beijing, China pada 1 hingga 6 Februari 2013.

* Foto-foto dalam artikel ini adalah ihsan Kamarul Bahrin Ismail. Tel: 012-2388256.

Oleh WAHIDUZZAMAN