Kisah Cinta,Kontroversi Dan Populariti Bintang Sensasi Selena Gomez

8:35 PM by
Selena Gomez




BINTANG remaja sensasi Hollywood, Selena Gomez pernah dikecam hebat gara-gara mengecat seekor kuda dengan warna merah jambu untuk penggambaran klip video single, Love You Like A Love Song dua tahun lalu.

Kemudian, kisah cintanya dengan ikon global kelahiran Kanada, Justin Bieber memonopoli keseluruhan kariernya dan menutup segala khilaf terdahulu.

Tahun ini, menerusi single terbaharunya yang berjudul Come & Get It, Selena, 20, memberikan tamparan hebat kepada masyarakat beragama Hindu. Semuanya gara-gara dia memakai bindi sebagai aksesori pada dahinya ketika membuat persembahan.

Situasi yang mencetuskan kemarahan itu disuarakan oleh wakil Persatuan Vedanta (kuil Hindu) California Selatan, Douglas Overton Blue yang menyifatkan tindakan Selena itu sebagai tidak sopan dan tidak menghormati agama tersebut.

Biarpun pemakaian bindi melambangkan metafora dan makna yang mendalam, kata Douglas , bindi sebenarnya dipakai oleh wanita yang telah berkahwin sebagai simbol mengagungkan suaminya seumpama dewa.

Selena bagaimanapun tidak mengendahkan teguran itu dan telah memakai aksesori itu sebanyak empat kali iaitu ketika membuat persembahan iaitu di pentas MTV Movie Awards 2013 dan Dancing with the Stars selain ketika muncul dalam program bual bicara Late Show with David Letterman dan Ellen DeGeneres Show hujung bulan April lalu.

Dia bagaimanapun ada pandangan tersendiri tentang isu tersebut.

"Saya fikir lagu ini mempunyai elemen Hindu, sangat etnik dan saya mahu menterjemahkannya dengan cara saya sendiri. Saya turut belajar mengenai cakra, bindi dan budaya masyarakat tersebut. Ia adalah menakjubkan!" tegas Selena.

Drama cinta

Berbanding kontroversi tersebut yang dianggap Selena sekadar rencah dunia seni dan hanya dipandang sebelah mata, episod cintanya bersama pelantun lagu As Long As You Love Me, Justin Bieber menjadi fokus umum.



SELENA mengakui dia bukan pelajar popular ketika di zaman persekolahan.
 

Bibit cinta antara Selena dan Justin bermula awal tahun 2011 apabila kedua-duanya hadir bersama ketika parti Vanity Fair Oscar.

Cukup dua tahun bersama, mereka putus dan membawa haluan masing-masing. Belum pun cukup sebulan berpisah, ikon pasangan remaja itu kembali bersatu menerusi pertemuan romantik di Los Angeles memutuskan kembali hubungan cinta mereka pada bulan Januari.

Pada penghujung April lalu Selena dan Justin dilaporkan kembali bersatu menerusi bantuan seorang paderi merangkap teman rapat Justin iaitu Judah Smith di Oslo, Norway.

Terlampau banyak drama dan gelora luar biasa yang melanda hubungan Selena dan Justin dalam usia yang masih muda adalah satu petanda bahawa mereka tidak sepatutnya ditakdirkan bersama.

Menyentuh tentang sejauh manakah perasaan dirinya terhadap Justin, ujar Selena, ia tiada bandingan.

"Saya cintakan Justin. Apabila kali pertama bertemunya saya merasakan dia seorang jejaka yang baik. Dia juga seorang yang romantik!" jelas Selena.

Pelbagai perspektif timbul rentetan daripada jalinan semula cinta Selena dan Justin.

Ada yang menyifatkan Selena kesunyian selepas perpisahannya dengan Justin. Malah, terdapat juga spekulasi ia adalah hasil nasihat daripada Judah Smith.

Tak popular

Berkongsi cerita mengenai populariti yang diraih sejak pertama kali membintangi siri kanak-kanak Barnie & Friends pada tahun 2001, kata Selena dia asalnya bukan seorang pelajar yang popular di sekolah.



BERCINTA, putus dan kini cinta kembali bertaut. Perjalanan cinta Selena dan Justin meraih perhatian dunia.

 

"Saya tidak pernah merasai erti populariti ketika di sekolah. Saya ada dua orang kawan baik tapi masa saya kebanyakannya dihabiskan dengan membuat kerja sekolah.

"Zaman persekolahan adalah waktu paling aneh dalam hidup saya. Tidak pernah sekali pun saya merasa yakin apabila menjejakkan kaki ke sekolah.

"Bagaimanapun, tiada seorang pun yang berani membuli saya kerana sepupu saya merupakan ketua pasukan sorak," katanya yang pernah menyimpan perasaan cinta terhadap seorang pelajar lelaki di sekolahnya.

Menyentuh tentang dirinya yang berkecimpung dalam industri hiburan di Hollywood, ternyata tidak mudah buat dirinya untuk berhadapan dengan pancaroba dunia penuh glamor itu.

Bagi dirinya, walau ramai individu sekeliling yang cuba menjatuhkannya, pengalaman mengajar erti hidup.

"Banyak penolakan dalam industri ini dan ia sangat sukar. Kadangkala rasa sangat penat melawan halangan tapi apabila kita melakukan perkara yang disukai, semuanya menjadi senang.

"Saya bernasib baik kerana mendapat banyak sokongan daripada keluarga dan kawan-kawan. Saya dikurniakan kesihatan, keluarga penyayang dan peminat yang menyokong saya.

"Pastinya saya akan terus positif," tambah anak kepada pasangan Amanda Cornett dan Ricardo Gomez itu.