Tiga orang finalis akan berentap di Konsert Mega Akhir iaitu Omar Sharif Mat Din, 42 (Arip, Pahang), Md Zain Ramli, 45, (Zain, Selangor) dan Benasil Kundong, 65, atau Ben dari Sabah.
Siapa sangka masih ada lagi ‘kejutan’ pada pentas akhir Kilauan Emas musim keempat (KE4) di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, malam kelmarin. Namun, itulah konsep program realiti.
Meskipun nampak seakan ‘mengarut’ kerana semua penonton dan peminat KE4 mungkin sudah mampu mengagak milik siapakah gelaran juara itu, tetapi sayangnya ia ditangguh lagi. Segala keputusan nampaknya hanya akan terlerai pada minggu depan.
Masih di lokasi sama, jam 9 malam Rabu depan serta disiarkan Astro Prima serentak Maya HD, pada saat akhir Astro selaku penerbit mengumumkan juara KE4 hanya akan terjawab selepas Konsert Mega Akhir yang melayakkan tiga orang finalis bersaing.
Mereka ialah Benasil Kundong, 65, atau Ben dari Sabah, Md Zain Ramli, 45, (Zain, Selangor) dan Omar Sharif Mat Din, 42 (Arip, Pahang). Bahkan, finalis akan menyahut tiga cabaran iaitu tema bebas, lagu asal dan duet.
Justeru, juara akan membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000, Toyota Camry dan pakej percutian ke Bali, Indonesia. Bagi naib juara pula menerima RM50,000, kereta Toyota X Gear serta pakej percutian ke Ho Chi Minh, Vietnam dan ketiga meraih RM30,000 dan percutian ke Bandung, Indonesia.
Pengurus Saluran Astro Prima Namanzee Hariss berkata, penganjuran Konsert Mega Akhir itu memang sudah dirancang sejak awal lagi.
Katanya, atas sebab itu juga penonton dapat melihat peserta KE4 kali ini seramai 13 orang.
“Apatah lagi, sambutan diterima untuk KE4 sangat hebat dan agak luar biasa. Saya tidak menyangka ia mampu mencetuskan fenomena sebegini. Ditambah, sebelum konsert akhir berlangsung saya dimaklumkan ada kekecohan di luar kerana ramai penonton tak dapat masuk.
“Justeru, kami memohon maaf kerana tempat duduk agak terhad iaitu kira-kira 700 orang penonton saja. Jadi, keadaan yang berlaku memang di luar jangkaan.
“Bagaimanapun, sebagai menghargai sokongan peminat yang datang, kami menyediakan skrin besar di luar dewan untuk peminat turut sama menyaksikan konsert akhir KE4 itu. Kami juga sediakan jamuan dan pasukan paramedik,” katanya.
Memaklumkan akan lebih peka terhadap keperluan penonton yang hadir pada minggu hadapan, Namanzee berkata, Astro sedaya-upaya berusaha menyediakan prasarana lebih bagus untuk mereka yang begitu menyokong hebat KE4.
Menurutnya, kepada penonton yang tidak memiliki tiket masuk dia menasihatkan supaya menonton di rumah saja. Ini kerana keutamaan tempat duduk dalam dewan sebenarnya diberikan untuk keluarga, peminat dan pihak penaja.
Pada konsert akhir KE4 itu, persaingan ditampilkan lima finalis nyata amat sengit. Namun, tak dinafikan Arip cukup menyerlah. Menyanyikan lagu popular Wings, Taman Rashidah Utama dan single baru, Aku Tak Bisa ciptaan Edry Abdul Halim, dia nampak begitu bersedia.
Bahkan, jeritan luar biasa dalam dewan apabila penonton bukan saja menyanyi bersama, tetapi dilihat turut merasai nyannyian meruntun jiwa daripada Arip. Hinggakan, juri tetap iaitu Datuk Ramli MS menganggap persembahan Arip jujur.
Turut tidak mengecewakan ialah persembahan Zain. Bersandarkan pengalaman pernah bergelar penyanyi rakaman, Zain atau Ringgo juga berjaya melaksanakan cabarannya dengan baik. Single barunya, Cinta Satu ciptaan Audi Mok dan Omar K pastinya mengingatkan peminat pada era Arrow.
Ben selaku finalis paling senior juga membuktikan dia juga pesaing yang hebat. Mendendangkan lagu baru, Baiduriku ciptaan LY dan lirik, Baiduri dan lagu Inggeris, Bed of Roses (Bon Jovi) nyata ia memang ‘makanan’ Ben.
Manakala pendikir terkenal dari Kelantan, Nor Din Yusoff atau Nordin, 53, akur dengan kemenangannya di tempat keempat dan membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000. Nordin menghiburkan penonton dengan lagu Seroja dan single baru, Luluhan Jiwa ciptaan Ayai (Illusi) dan lirik, Grunge.
Selain itu, Nordin juga membawa pulang hadiah RM15,000 kerana menjadi pilihan penaja, Nestle kerana berjaya menyahut cabaran menurunkan tahap kolesterol dalam tempoh 30 hari menerusi produk minuman Omega Plus.
Seorang lagi peserta, Mohammad Nasiruddin Mohd Hashim atau Nas, 44, dari Pahang terpaksa berpuas hati meraih tempat kelima dan meraih wang tunai RM10,000. Persembahan Nas kurang mantap menerusi lagu Mungkir Bahagia nyanyian asal Hazami dan single barunya, Dirasuk Asmara ciptaan dan lirik, Sri Wirama Datuk Adnan Abu Hassan.
Sehubungan itu, selain undian penonton, persembahan peserta dinilai tiga juri tetap iaitu Ramli, Ziana Zain dan Datuk Hattan. Manakala, Erra Fazira tampil sebagai juri jemputan.
Penonton juga dihiburkan dengan persembahan penyanyi undangan seperti Ziana Zain, Zamani Slam, Nassier Wahab dan Rohana Jalil.-HM