TIPS -TIPS AGAR TETAP ISTIQAMAH ! :)

6:49 PM by



Disini saya ingin kongsikan tips-tips untuk 'penghijrahan diri' dan Insya-Allah dapat kita manfaatkan bersama.

:- NIAT.

Hijrah harus dimulakan dengan niat yang tulus ikhlas mengharap keredhaan Allah. Perubahan diri yang dimulai dengan niat pasti mendapat pertolongan Allah. Manakala hijrah ke arah kebaikan yang dilakukan dengan niat untuk menunjuk-nunjuk pasti mengundang kemurkaan Allah dan tidak kekal lama kebaikannya.

:- TETAPKAN MATLAMAT.  

Matlamat yang utama pastilah untuk mendapat keredhaan Allah. Namun yang harus ditelusuri ialah persoalan sejauh mana relevannya matlamat yang ditetapkan. Matlamat yang disasarkan harus realistik dan mudah dicapai. Jangan meletakkan matlamat yang sukar dijangkau dalam tempoh yang singkat. Contohnya anda ingin berubah daripada seorang yang jahil tentang ilmu agama menjadi seorang mukmin yang hebat dalam masa beberapa minggu. Tentu mustahil bukan? Mulakan dengan usaha yang mudah. Contohnya anda kini konsisten mengikuti kuliah agama di surau dan masjid setiap malam. Itu mungkin hijrah diri terhadap ilmu. Anda meletakkan sasaran bahawa dalam masa 1-2 tahun ini anda dapat memahami konsep asas Islam. Atau dalam masa 2 tahun akan datang anda dapat menguasai hukum tajwid dan dapat membaca al-Quran dengan baik.

:- BUANG PERSEPSI YANG SALAH. 

Selama ini anda mungkin mempunyai persepsi yang salah terhadap diri anda dan kehidupan. Anda mengkin mempunyai persepsi bahawa hanya golongan yang baik-baik sahaja yang dapat kemanisan iman. Segala tanggapan negatif bahawa anda tidak layak untuk berubah harus dibuang jauh-jauh. Tetapkan apakah keinginan anda. Catatkan apa yang ingin diubah, lantas sebutkan sebarang perubahan positif tersebut berkali-kali agar membentuk suatu persepsi yang baik. Buang segala persepsi hanya insan terpilih sahaja yang boleh berubah.

:-BANYAKKAN MEMBACA DAN MENDENGAR KISAH ORANG-ORANG YANG BERJAYA.

Bagi mereka yang ingin bertudung contohnya, bacalah buku-buku di pasaran tentang bagaimana akhirnya wanita-wanita mendapat hidayah untuh tampil bertudung menutup aurat. Banyak bahan bacaan yang mendorong kita untuk berubah. Itulah kuasa hijrah. Dekatilah tokoh-tokoh serta ahli agama yang sentiasa akan memberikan motivasi dan nasihat.

:-PEDULIKAN KATA ORANG LAIN.  

Untuk berhijrah memang memerlukan pengorbanan. Orang akan melihat sebarang perubahan diri yang dilakukan. Pasti ada yang memuji malah ada yang mengeji. Itulah rencah kehidupan yang perlu anda lalui. Jangan berkecil hati dan kuatkan semangat. Jangan mudah luntur semangat hanya kerana kata-kata orang yang iri hati dengan perubahan positif anda. Kita mungkin hanya diumpat demi untuk hijrah diri, tetapi Rasulullah SAW pernah dibaling batu dan disakiti oleh golongan musyrikin. Jadikanlah segalanya sebagai suatu pendorong untuk terus beristiqamah dalam perjuangan mengubah sikap.

:-BERDOALAH.  


Allah sesungguhnya telah berfirman: 

Dan Tuhanmu berfirman: "Berdoalah kepada-Ku, niscaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri daripada menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina-dina." (Al-Ghafir 40: 60)

Berdoalah demi mengharap pertolongan daripada Allah SWT. Tiada kuasa lain yang mampu untuk memberi hidayah dan membantu keinginan anda untuk berhijrah daripada keburukan kepada kebaikan. Jangan kita lupa bahawa Allah menentukan segala niat dan keinginan diri dimakbulkan. Jadi, berdoalah diiringi keinsafan terhadap dosa-dosa lalu, mohon diampuni-Nya. Berdoalah agar segala usaha membaiki diri itu dibukakan jalan yang luas tanpa halangan berliku.

Sememangnya hijrah diri itu menuntut pengorbanan dan kekentalan semangat yang luar biasa. Panduan sudah diberi, pilihan di tangan anda. Kata orang, "Tepuk dada tanya Iman".

"Mulakanlah perjalanan hijrah dengan meninggalkan keburukan. Kerana mereka yang mendekati kebaikan belum tentu meninggalkan keburukan, tetapi mereka yang meninggalkan keburukan pasti akan mendekati kebaikan."...